MEDIA sosial sejak semalam kecoh apabila seorang gadis yang dikenali sebagai Alice Lien Hua, 20, dikatakan dengan berani membelasah dua lelaki pendatang tanpa izin sehingga koma selepas penjenayah itu cuba merogol dan merompaknya dalam kejadian di Penampang, Sabah.

Menurut kemaskini di lmana Facebook Kelab Info Malaysia, dalam kejadian kira-kira 11.40 malam pada 4 Mac lalu, dua suspek berkenaan yang menunggang motosikal didakwa mengekori mangsa yang sedang memandu kereta seorang diri.

Kedua-dua suspek dikatakan memintas kenderaan mangsa, sebelum mengarahkan Alice membuka cermin kereta dan menyuruhnya keluar daripada kenderaan dalam cubaan untuk merompak remaja itu.

Suspek mengacukan pisau ke arah mangsa (baca di sini), namun mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang, sebelum salah seorang suspek menarik tangan Alice dan membawanya ke kawasan semak.

Ketika itu, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek, sebelum kedua-dua suspek itu teruk dibelasah oleh mangsa yang merupakan atlet karate di Sabah sehingga patah leher dan koma.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Penampang, Deputi Supritendan Rosley Hobden memetik laporan The Star malam tadi mengesahkan berita yang tersebar di laman sosial adalah ‘palsu’.

Katanya, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut dan masih menyiasat kesahihan insiden berkenaan yang dilaporkan sebagai kisah benar oleh beberapa blog dan portal berita dalam talian.

“Mereka yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan Internet atau telefon untuk menyebarkan berita atau maklumat palsu,” katanya.

Namun, kemaskini terbaharu di laman Facebook Alice Lien Hua menyatakan bahawa dia masih belum membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan kerana bimbang akan dihadapkan ke mahkamah dan disabit hukuman membunuh.

“Jika mereka memaksa juga, saya akan keluar dari negara. Tiba masanya untuk berpindah. (Namun), sebelum meninggalkan anda semua, sekurang-kurangnya dan saya berharap anda semua faham, tindakan saya mencederakan dua lelaki berkenaan, boleh memberi kesan yang baik kepada Sabah dan generasi baharu,” katanya dalam kemaskini tersebut.

Pengguna Facebook bagaimanapun menasihatkan Alice supaya tidak takut dengan tindakannya membelasah dua suspek terbabit kerana dia cuba mempertahankan dirinya daripada ancaman.